بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah nikmat bernafas masih lagi dirasai tika ini.
Saat ada insan lain sudah memegang status jenazah, diri ini masih lagi di kelilingi hiruk pikuk kehidupan yang belum pasti penghujungnya bagaimana.
Setelah setahun lebih pemergian ayah, aku dikejutkan pula dengan pemergian adik yang disayangi.
Penyakit yang dialami oleh adikku tidak pernah terlintas difikiran. Kanser leukemia akut yang dialaminya kedengaran pedih sekali.
Ya, aku dengar. Suamiku menceritakan keadaan adikku saat dia menguruskan jenazah adikku di hospital Kuala Krai.
Emak memutuskan supaya arwah adikku diuruskan sehingga dikafankan hanya di hospital. Emak tak mahu menyusahkan orang datang ke rumah kerana perkarangan rumah kami bukanlah besar untuk kenderaan lalu dan parking. Biarlah hanya solat jenazah di masjid dan dikebumikan sahaja di Machang.
Aku tahu emak tak kuat. Dia tak mahu pergi hospital dan ke perkuburan. Sepanjang aku bersamanya, emak hanya melayan tetamu atau jika tidak emak mengaji al-Quran.
Lara di hati emak hanya Allah yang tahu. Dua insan yang dekat dengannya pergi boleh dikatakan dalam tempoh masa yang singkat.
Selepas pemergian adikku aku terlalu kerap bermimpi mengenai keluargaku. Sehingga aku takut untuk tidur. Kadang-kadang mimpiku mendebarkan sehingga aku boleh dengar jantung berdegup dengan laju. Aku tak tahu apa erti mimpi itu.
Aku mengharapkan penghujung hayatku dan sahabat-sahabat adalah husnul khatimah. Penutup yang baik, pengakhiran yang diredhai.
Kita tidak tahu bila kita akan dipanggil menghadap Ilahi. Selagi hayat dikandung badan berbuat baiklah sesama kita. InsyaAllah
❤
Mama Sakinah