19 February 2022

Pemergian yang menginsafkan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah nikmat bernafas masih lagi dirasai tika ini.

Saat ada insan lain sudah memegang status jenazah, diri ini masih lagi di kelilingi hiruk pikuk kehidupan yang belum pasti penghujungnya bagaimana.

Setelah setahun lebih pemergian ayah, aku dikejutkan pula dengan pemergian adik yang disayangi.

Penyakit yang dialami oleh adikku tidak pernah terlintas difikiran. Kanser leukemia akut yang dialaminya kedengaran pedih sekali. 

Ya, aku dengar. Suamiku menceritakan keadaan adikku saat dia menguruskan jenazah adikku di hospital Kuala Krai.

Emak memutuskan supaya arwah adikku diuruskan sehingga dikafankan hanya di hospital. Emak tak mahu menyusahkan orang datang ke rumah kerana perkarangan rumah kami bukanlah besar untuk kenderaan lalu dan parking. Biarlah hanya solat jenazah di masjid dan dikebumikan sahaja di Machang.

Aku tahu emak tak kuat. Dia tak mahu pergi hospital dan ke perkuburan. Sepanjang aku bersamanya, emak hanya melayan tetamu atau jika tidak emak mengaji al-Quran.

Lara di hati emak hanya Allah yang tahu. Dua insan yang dekat dengannya pergi boleh dikatakan dalam tempoh masa yang singkat.

Selepas pemergian adikku aku terlalu kerap bermimpi mengenai keluargaku. Sehingga aku takut untuk tidur. Kadang-kadang mimpiku mendebarkan sehingga aku boleh dengar jantung berdegup dengan laju. Aku tak tahu apa erti mimpi itu.

Aku mengharapkan penghujung hayatku dan sahabat-sahabat adalah husnul khatimah. Penutup yang baik, pengakhiran yang diredhai.

Kita tidak tahu bila kita akan dipanggil menghadap Ilahi. Selagi hayat dikandung badan berbuat baiklah sesama kita. InsyaAllah 


Mama Sakinah



18 May 2020

26 Ramadan - BERTEMU SANG MURABBI III


Selepas sahaja Magrib berlalu, jam 9 malam begitu kami berkelah beramai-ramai di suatu kebun yang agak lapang kira-kira 20 minit dari rumah. Tiada orang lain, melainkan kami. Tiada rumah-rumah berdekatan juga.
           
            Teko-teko teh bertingkat dua, wajib ada dan sentiasa dingin sepanjang malam. Pelbagai makanan yang tersedia sejak pagi tadi terhidang banyak, di samping buah-buah segar musim panas.

            Di tengah sesi perkelahan, lagu-lagu rancak Turki diperdengarkan dari peti suara sebuah van. Sungguh kuat sekali. Yang laki-laki ada yang menari di sana, perempuan pula satu persatu menari di sini. Kami orang Malaysia, mana nya tahu menari bukan budaya kita. Kami hanya makan dan makan, berbual saja nampaknya.

            ”Kami di sini amat gemar melakukan penipuan,” Filiz memulakan bicara.

            ”Boleh macam itu?”soalku.

            ”Iya, bila di khalayak ramai begini, ada di antara mereka melakukan penipuan, sangkaan kami yang lain adalah benar rupanya tipu semata-mata”, sambungnya lagi.

            “Satu malam Ella Nur memakai baju tidur berwarna pink dan makan bersama kami di tingkat bawah bangunan rumah kita itu seperti biasa. Tetapi malam itu kami tidak perasan dia naik ke rumah lebih awal. Sedang kami makan dan makan lagi, tiba-tiba ada satu jeritan mengiringi seseorang yang jatuh dari bumbung tingkat empat memakai baju pink yang sama. Seseorang mungkin mati, kami tergamam. Ella Nur?”

            Sambung Filiz, “Kami sungguh terkejut. Tia-tiba satu suara ketawa mengiringi ketakutan kami dari tingkat yang sama, rupanya Ella Nur melontarkan beberapa bantal yang di masukkan ke dalam bajunya membentuk seperti seorang manusia. Kami ditipu.”

            Berderai ketawa kami.

            “Kini giliran kamu berdua. Kamu menari bersama mereka dan pura-pura pengsan”. Filiz Abla terus mencadang.

            ”Kami tidak berani”, kami tergelak malu. Kemudian kami diajak menari-nari di dalam satu bulatan kecil. Bukan menari pun kami, larian setempat lebih sesuai jadinya. Segan amat.

            Para penari akan berpusing sambil menari membentuk bulatan, manakala seorang demi seorang penari akan bertukar untuk menari di tengah-tengah bulatan. Giliran Sarcan yang berbadan gempal pula menari ke bahagian tengah. Tiba-tiba dia kelihatannya sesak nafas dan pengsan. Aku tergamam, tak tahu berbuat reaksi bagaimana.
           
            Muzik di matikan dan semua mengelilingi Sarcan. Doktor Sibel memainkan peranannya, memeriksa nadi dan sambil memanggil-manggil Sarcan untuk terus sedar.

            ”Sarcan bangun! Tarik nafas perlahan-lahan”, ujar doktor. Cuak semakin menggunung. Şukran Abla mengambil giliran pula, ”Sarcan!...”. Diam uma diam dan kaku.  Keadaan sekeliling semakin senyap. Jantung aku pula yang semakin laju menghentam tulang rusuk. Semua orang tertunduk diam.

             Tiba-tiba, Sarcan bangkit dan duduk. Dia ketawa dan semua orang ketawa berdekah-dekah kepada kami.

            ”Oh tidak kita tertipu!” kami berdua tertawa juga.

            ”Aku dah cadangkan kepada kamu tadi, sekarang kamu pula yang tertipu, beginilah apa yang aku maksudkan,”terang Filiz Abla. Semakin besar ketawa memecahkan pekat malam itu.  Mereka pelakon yang hebat. 

            Di dalam kelurga besar ini, perhubungan di antara lelaki dan perempuan begitu dijaga dengan baik sekali. Semasa menjamu makanan, menari dan berlagu riang, kaum lelaki di bahagian hadapan agak jauh dari kami, sekitar 100 meter.

            Sebenarnya, budaya rumah Uthmaniyyah memang begitu, tetamu lelaki dan perempuan dipisahkan kepada dua ruang tamu bersebelahan. Masing-masing tidak boleh bercampur gaul hingga berakhirnya pertemuan. Saat makan pun, tuan rumah akan menghidangkan makanan di ruang tersebut. Budaya itu diamalkan hingga sekarang, walaupun tak punya dua ruang tamu secara tradisinya, tuan rumah akan mempersiapkan bilik khas untuk wnaita, sedangkan laki-laki di ruang tamu.

            Keselesaan begini membuatkan kami tidak canggung melakukan aktiviti masing-masing. Aku mengambil peluang menyanyi sebelum agenda tarian mengambil alih. Kami membawa lagu ”Thank You Allah”, yang dilagukan oleh kumpulan nasyid tanah air yang terkenal, Raihan. Diringi oleh petikan gitar Nacie. Persembahan ringkas ini saja buah tangan malam itu dari kami.

            Aktiviti perkelahan malam itu berakhir dengan permainan tarik tali sesama kaum lelaki kemudiannya kaum wanita pula. Aku turut menyertainya tetapi kalah di tangan kumpulan Ummu akhirnya.

            Kami berjalan kaki semula pulang ke rumah. Tak seperti hujung minggu biasa, malam itu perkelahan ini mengumpulkan kira-kira 40 orang semuanya. Ramainya kami kerana menghadiri sambutan Nifsu Syaaban dan sedia maklum menyambut guru tadi siangnya. Sebahagian wanita-wanita yang sebaris denganku, belum berkahwin lagi berjalan kaki riang sambil mengunyah kuaci. 
           
            Masa ini juga baik untuk kami berdua mempraktikkan pelajaran bahasa Turki kami. Manakala kakak-kakak yang sudah berkahwin akan menaiki kereta bersama suami masing-masing disamping membawa bekas-bekas bekalan piknik.

            Bumi Kuttahiya yang berbukit dipeluk kesejukan malam di paras bawah 10 darjah. Bintang-bintang bergemerlapan di langit tak berawan sedikit pun. Tapi kami tetap suka mendampingi malam bersama di atas rumah aras 4 itu. Kira-kira jam 12 malam setelah pulang, kami dirikan solat Isyak bersama.
           
            Kira-kira 50% Muslim di Turki berpegang kepada Mazhab Hanafi terutama mereka yang tinggal di bahagian Barat termasuklah tanah Istanbul. Bakinya pula berpegang kepada Mazhab Syafie. Awalnya aku hairan, katanya solat bersama, ada seorang ketua di hadapan saf; Syukran Abla. Namun pergerakan mereka tidak serentak.

            Rupanya mereka memang benar solat bersama sahaja, bukansolat secara berjemaah. Dalam mazhab mereka, tidak ada didirikan solat berjemaah di kalangan wanita-wanita sahaja. Usai solat kami duduk bersama dan mendengar perkongsian Risalah Nur oleh Filiz.

            Di sini, jam 10 malam azan Isyak berkumandang di udara, bayangkan saja nanti jam 12 malam baru selesai solat Terawih 20 rakaat di Turki.

            Menikmati malam hingga Subuh jam 3.30 pagi nanti, kami masing-masing menekuni diri. Ada yang mengalunkan bacaan Al-Quran sama ada secara berkumpulan mahupun sendirian.

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka,”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?”Pasti mereka menjawab,”Allah”Maka mengapa mereka bisa dipalingkan (dari kebenaran)”                                                                     (Surah Al-Ankabut: 61)

            Aku memanjat tembok dan menjuntaikan kaki di tingkat 4, bermuhasabah bersama penuhnya bulan purnama. Sekitar surah Al Ankabut itu ku baca dan terkesima, Takdir Tuhan begitu kemas tersusun untukku.

            “Kau membenarkan lagi penciptaan alamMu dengan kebenaran yang tiada tandingan dari kitab suciMu. Duhai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, baru sebentar tadi kami pulang dari menyanyikan lagu Islami, berselawat dan berzikir di dalam pimpinan tangan membulat di kaki bukit. Sambil menyaksikan keindahan bulan penuh dan bintang-bintang yang memagarinya. Kini Kau ikat, Kau ikat lagi hatiku dengan ayat-ayat suciMu”.

            Aku amat kesal kerana tidak melakukan persedian rohani sebelum menghadapi bumi yang tewasnya bangsa Romawi, tercatit dalam surah seterusnya, ayat 2 Surah Ar Rum.

            Maksudku yang lebih terperinci, aku tidak pula mencari mana-mana maklumat tentang adab, perayaan, sambutan, mazhab malah budaya warga Turki ini dengan lebih terperinci sebelum aku mengembara ke sini. Pastinya ia lebih memaknakan rohani.

            Namun Allah tetap mengasihiku, hadirkan mereka keluarga besar ini, seorang sahabat Ummu, dan seluruh warga Turki yang secara langsung atau tidak membantuku merohanikan pengembaraan ini.
           
            Alhamdulillah dapat aku melihat kemurnian sebuah perbezaan indah dalam keluarga ini khasnya dan seluruh pelosok Turki umumnya, dalam meraikan Nifsu Syaaban. Keluarga Risale-I Nur ini memakai pakaian yang indah-indah dan kemas, makan besar dan solat bersama-sama. Mereka saling memberi hadiah seperti tudung, coklat, atau manisan. Pasti turut serta adalah aktiviti ibadah sunnah yang lain. 





Nukilan,

Nilam Tang

17 May 2020

25 Ramadan - Sang Murabbi II

Masa cepat benar dirasakan berlalu pergi, sudah hampir sebulan saya berkunjung pergi ke daerah ini merayakan hujung minggu dengan mereka. Pertemuan yang amat bermakna dan tidak terjangka. Alhamdulillah di bumi Turki ini kami sering dipertemukan dengan orang-orang yang hebat.
            Usai kami makan bersama, Firinci Abi memulakan tazkirahnya tentang kalimah Basmallah. Perkara utama yang diletakkan paling hadapan sekali berbanding ilmu yang lain dalam   kitab-kitab   Risalah –I Nur,   oleh   ulama Turki yang terkenal   Bediuzzaman   Said   Nursi   sendiri.

            Analogi kalimah Basmalah terkandung dalam kitab Risale-I Nur yang pertama, ”The Word”. Begitu telus penyampaiannya. Aku membayangkan gerak geri Ulama Said Nursi menyampaikan usrahnya melalui anak muridnya ini.

            “Sesungguhnya   seorang   badwi   yang   berkelana   (ber-musafir)  di  padang  pasir,  tentunya  berlindung  dengan  ketua  kabilah,   bernaung   di   bawah   naungannya   agar   terselamat  daripada   segala   kejahatan   musuh,   agar   terlaksana   segala  tugasnya  serta  memperolehi  segala  keperluannya.  Sekiranya  tidak,  maka  ia  akan  kekal  keseorangan,  terpinga-pinga  dan  tercengang-cengang di hadapan musuh yang terlalu ramai dan  keperluannya yang tidak terbatas. 

            Begini  ...  kebetulan  dua  orang  hamba  Allah  keluar   berkelana.  Salah  seorang  daripada mereka  bersifat tawadhu’  dan  seorang  lagi  pula  terpedaya  dengan  diri  sendiri.  Maka  yang  tawadhu’  itu  bernaung  kepada  ketua,  manakala  yang  terpedaya  tadi  menolak  dari  menerima  sebarang  naungan.  Maka berkelanalah kedua-duanya itu di padang pasir. Hamba Allah yang bernaung tadi setiap kali mendiami  sebuah khemah dia menerima penghormatan dan  penghargaan disebabkan   kemuliaan   nama   ketua tersebut.  

            Apabila berjumpa perompak, dia akan berkata; “Sesungguhnya aku berkelana di bawah naungan ketua itu”, lalu si perompak tadi akan melepaskannya.  Yang  terpedaya  pula,  dia  bertembung  dengan  pelbagai  musibah dan kecelakaan yang bukan kepalang. Di  sepanjang  perjalanan  dia  sentiasa  berada  dalam  keadaan  cemas,  takut  dan  terpinga-pinga.  Lalu  dia  mengutuk  dan  mengeji  dirinya  sendiri.

            Wahai  diri  yang  tertipu,  ketahuilah,  engkau  merupakan  si  badwi  yang  berkelana  itu,  dan  dunia  yang  luas  inilah  padang  pasirnya.  Sesungguhnya  kefakiran  dan  kedaifanmu tidak  terbatas  sebagaimana  musuh  dan  kehendakmu  juga tidak berkesudahan. Oleh yang demikian, maka bernaunglah  dengan  nama  Pemilik  dan  Penguasa  sebenar  padang  pasir  tersebut, agar engkau terselamat daripada kelihatan terpinga-pinga di depan alam ini dan daripada kejinya perasaan takut bila berhadapan dengan musibah.”

            Persoalan;  Kita menyatakan rasa hormat, rasa  kagum  kita kepada mereka yang    menjadi sebab kepada nikmat   yang   kita   perolehi. Dan apakah   yang Allah mahukan  daripada  kita,  sedangkan  Dialah  Pemilik dan Penguasa kepada semua nikmat itu? 

            Jawapan;  Sesungguhnya Pemberi nikmat  yang hakiki meminta kita tiga perkara     sebagai bayaran kepada nikmat-nikmatNya yang tidak ternilai itu iaitu zikir, syukur dan fikir.
           
            Maka  Bismillah pada permulaan adalah zikir, Alhamdulillah sebagai penyudah adalah syukur, dan keadaan di antara keduanya    zikir  dan  syukur  – adalah fikir  iaitu  dengan memerhatikan  nikmat-nikmat  yang indah tersebut serta   menyedari bahawa ia merupakan mukjizat bagi kekuasaan Dia Yang Esa, yang menjadi tempat berserah  dan  juga  menyedari  itu  semua  adalah  hadiah  bagi  sifat  rahmatNya  yang  maha  luas,  maka  pemerhatian  inilah yang dipanggil fikir. 


            Ferinci Abi kembali ke Istanbul petang itu. Setiap anak-anak kecil diberikan restu ciuman di dahi, dititipkan juga buah tangan kecil untuk mereka. Bagiku, pertemuan ini adalah buah tangan Syaaban buat mereka kakak semua. Risalah Nur merupakan kitab-kitab cahaya buat orang Turki tika Al Quran tidak lagi diajarkan kerana penutupan madrasah, di rumah sekalipun harus dibaca secara sembunyi. Tidak boleh dilontarkan suara tilawah keluar hingga terdengar lewat jendela.

            Mengikutkan rasa hatiku yang kotor, mulanya aku agak tertanya-tanya mengapa mereka sering-sering menyebut Rislaah Nur lebih kedepan dari kitab lain. Tidak ada juga kitab lain dibariskan bersama Risalah Nur di rak buku panjang. Tak seperti kita di Malaysia, ribuan kitab telah kita dengar namanya, puluhan kitab-kitab ada kita ikuti pengajiannya secara terbuka di sekolah, rumah, masjid serta madrasah.

            Ramai yang bilang, di Turki orang-orangnya fanatik, sukar mengalah dan menrima pandangan lawan dan pendapat orang lain. Di stadium bola, pergaduhan boleh terjadi di hujung perlawanan. Sesiapa yang mendukung Mustafa Kamal tidak akan mudah tewas dengan agenda luar sekularisme. Bercakap butuk tentang tokoh mereka itu di khalayak rmai juga boleh dipenjara. Fanatik mereka akan sesuatu tak boleh dibawa bincang biasa-biasa. Kalau boleh bergaduh mengapa harus berdamai.
           
            Di luar sana, satu pujian kepada Turki takkan berakhir dengan singkat. Segala macam semuanya bagus tak seperti negara lain. Makanan mereka terbaik, teh-teh di sini paling menjadi ikutan, tak perlu bahasa Inggeris kerana bahasa mereka sudah memadai, sejarah bangsa mereka terlalu hebat dan macam-macam lagi. Sayangnya mereka terhadap dunia Turki mereka sendiri, membuatkan mereka duduk saja dalam tempurung negara sendiri. Jarang terdengar orang Turki ke luar negara sana untuk mengambil tahu hal antarabangsa.

            Hakikatnya, memang tanah Turki sangat indah pada banyak sudut dan keadaan, tanah yang mahu aku singgah dan datang lagi berulangkali. Aku fanatik akan Turki? Tidak. Kerana saya sukakan pelbagai hal tentang negara ini. Bagi saya, mulanya ya saya memikirkan oh mereka fanatik juga sama Said Nursi Bediuzzaman serta kitabnya sekali.

            Pada sudut lain ku pandang, kita ini satu-satunya kitab yang boleh dibaca langsung secara individu, bahasanya ringan dan segala isinya mudah difahami seiring dengan keadan yang menekan saat ia disebar luas. Benteng sekularisme pula telah tertanam dalam ke dada 2 ke 3 generasi rakyat sekarang, menembusi batas menjadi sukar.

            Perlahan-lahan rantai perjuangan islam meresap ke dalam udara Turki dengan adanya penerapan agama mula terlihat di bawah pimpinan Recep Tayyib Erdogan. 10 hingga ke 20 tahun itu mereka hanya berusaha sendiri dalam kelompok kawan-kawan, keluarga kecil dan diri sendirilah yang harus kuat mempertahankan iman.
           
            Jadi sekarang aku merasa sangat beruntung ditemukan oleh Allah dnegan mereka yang fanatik ini. Walaupun membaca kitab yang sama, mereka lebih banyak lakukan pengajian seharian berbanding diri aku sendiri. Sekarang aku yang harus mengambil pelajaran besar dari mereka.


Bersambung..

Nurkilan,

Nilam Tang

16 May 2020

24 Ramadan - BERTEMU SANG MURABBI I


"setiap waktu adalah belajar, setiap orang adalah guru, setiap tempat adalah sekolah"
ADEGAWA

2011 di pagi Syaaban, keluarga besar ini begitu sibuk di dapur bagi persedian meyambut tetamu istimewa. Aku tidak mengambil kisah sangat tentangnya, fikirku barangkali ianya hanya melibatkan ahli keluarga itu sahaja. Di luar rumah, jarang ditemui orang Turki berketerampilan dengan warna terang. Kakak-kakak ini saja yang berani berbuat begitu, katanya ini semangat dan tanda kegembiraan mereka di khalayak ramai. 

Di dapur pun mereka memasak dengan pakaian-pakaian cantik, gaun bunga-bunga, tudung sifon yang terang, dan bibir merah yang mungil tanpa bedak tebal. Sudah tersedia cerah kulit mereka, tanpa kosmetik pun mereka tetap tampil cantik dan elegan. 

Tapi seperti masih terlalu awal untuk mereka bangun pagi begini. Rata-rata orang Turki yang ku kenal selalunya akan tidur selepas Subuh, sarapan mereka itu jam 11 ke 12 tengahari. Makan tengahari pula jam 4 ke 5 petang nanti. Dalam musim panas, mereka yang akan mendiami rumah panas di tempat-tempat berhawa dingin, di kaki-kaki gunung atau di pinggir pantai. 

Di bumi Kuttahiya. Bukit-bukitnya gondola. Saat matahari memuncak, anak-anak termasuk emak bapak akan terpisah meliburkan diri di banyak kolam-kolam renang dan taman tema air mengikut jantina. Piknik juga luar biasa di sini. Di tengah bandar sekalipun, minum-minum teh dan main kad di atas hamparan kecil rumput pun menjadi.  Restauran serta kafe dengan menu tempatan laku keras berdagang makanan dan minuman. Jam 12 tengahari muzik kuat berdentum-dentum hingga jendela bilik kami, tandanya pesta air harian sudah di mulai di pekan sana. 

Orang Turki akan lebih menikmati hidup hingga Subuh menjelma. Sesudah subuh jam 3 ke 4 pagi, inilah masanya mereka memeluk bantal dan menarik selimut. Kami slealu tidur awal, solat Subuh dan tidur lagi. Bangkit pagi jam 8 pagi pun, pekan ini sunyi tanpa orang. Kami suka berjalan-berjalan di kaki bukit, baring di atas hamparan rerumput. Menutup mata dan menghayati suara alam. Anjing-anjing menyalak keras, burung-buring berkicauan, siput pelan-pelan memanjat lalang, angin pula sepoi-sepoi bahasa melewati pokok-pokok bunga yang renek. 

Tengahari ini tak hadir kami ke kolam renang. Aku dan kak Ummu dipanggil untuk turut serta dalam pertemuan itu. Kami memakai pakaian kemas dan turut ke laman. Di bawah pokok erik yang merimbun, kakak-kakak Turki duduk mengelilingi seorang lelaki tua yang bertubuh kecil.

 Kami dijemput duduk semeja dengan beliau, sepertinya kami tetamu yang istimewa buatnya, walhal beliaulah tetamu yang paling bererti sekali kepada kami. Kami berdua diperkenalkan kepada beliau. Beliau adalah seorang guru bernama Muhammad Ferinci Baker, berusia 82 tahun. Mereka senang sekali memanggil beliau Ferinci Abi. Telinga beliau terselit alat pendengaran, kopiahnya dilipat kemas di kocek belakang seluarnya, dan rambutnya yang jarang serba beruban, namun beliau masih segak berjalan dan menyampaikan seribu satu perkongsian di merata lembah. 

Beliau pernah hadir ke Malaysia untuk Konvensyen Said Nursi Bediuzzaman yang berlangsung di UKM sebanyak dua kali, melalui penyampaian ucapannya, sepertinya beliau mempunyai ingatan yang sangat tajam jika dibandingkan dengan usia emasnya yang sangat mahal. Begitu teliti penerangannya dan ingatannya akan  banyaknya ilmu dan pengalamannya yang lalu.

”…Malaysia itu sebuah negara yang baik. Semua orang memakai tudung…Malaysia beruntung kerana Islam adalah negara rasminya…”, kongsi beliau.

Memang beruntung sekal aku menjadi rakyat Malaysia. Tetapi tanpa mengembara ke tempat orang begini, rasa keberuntungan itu pasti tidak hadir hingga sebegini banyak rasanya. 

Tika mengembara, pelbagai perbezaan dihargai nikmatnya, perbandingan dilaksanakan, dan kekurangan diteliti. Malaysia punya kelebihan dari segi sistem, kemudahan dan infrastruktur sangat bagus dalam pengajian agama Islam. Dan Turki pula punya jiwa kental untuk mendokong Islam yang sangat tak tertanding oleh rakyat  negaraku. 

Di awal tahun 1990-an, Turki sedang sakit jatuh tetimpa-timpa bermacam tangga kemusnahan. Pemimpin kuku besi, sang Mustafa Kamal tak menunggu waktu lama, memaksa rakyat Turki memulai segera norma baru. Kot dan tai serta topi bangsa Eropah diperagakan, tak ada tudung dan selendang bertahta di kepala para wanita. 

Pintu-pintu madrasah segera dipaku kebal tak boleh ditembusi. Masjid-masjid menangis dengan laungan azan bukan berbahasa Arab. Banyak darinya ditutup, ada yang  dijadikan kandang kuda, sebahagian terbengkalai dan terbiar pilu. Tak ada lagi suara-suara dokongan syiar Islam bebas di udara kota dan kampung. Jentolak sekularisme merobohkan jiwa dan raga.

Tahun-tahun mendatang, rakyat sengsara hidup dalam kepalsuan jiwa. Hati mereka meronta mahukan amalan hidup secara Islam. Di ceruk-ceruk desa di timur Turki, Said Nursi Bediuzzaman tetap tegar merentang arus songsang ini. Mulai dari satu dua orang, bulatan kelasnya berkembang hingga berpuluh-puluh orang secara rahsia masuk ke hutan mengejar ilmu agama dari beliau. 

Tiap-tiap mereka menulis setiap ayat dari mulut sang guru, kemudian di bawa pulang ke rumah untuk disampaikan kepada ahli keluarga serumah. Anak isteri masing-masing menyalin lagi nota-nota dan disebarkan secara rahsia kepada keluarga besar. Ada nota diselitkan melalui botol air ke kebun, ada juga dalam bekas makanan dan poket-poket rahsia di sekitar tubuh. Tak ada usaha  jelas lain selain cara ini, demi terus menghidupkan islam kembali dalam jiwa-jiwa rakyat Turki. Tahun demi tahun, tersebar risalah-risalah ini ke merata Turki. Dalam pelbagai dugaan dan pancaroba, akhirnya terkumpulnya semua risalah ini sekarang, digelarkan kitab-kitabnya sebagai Risalah Nur. 

Tahun demi tahun juga. untuk terus hidup, semua kakak-kakak Turki di sini beriktiar memakai rambut palsu ke kampus. Untuk mengembalikan Islam di masa depan, cara begini harus ditempuhi mereka. Cita-cita mereka bukan kecil, misalnya Sibel adalah doktor, dan Nur pula bekerja sebagai pendidik sekarang. 

Kakak yang lain pula berkinginan menjadi angkasawan, para guru dan jurutera, tetapi mereka berhenti saja di pertengahan jalan. Tidak bererti mereka mengalah. Mereka memilih jalan aman disamping keluarga, pulang ke kampung dan memilih untuk hidup dalam pelukan Islam di dalam rumah kecil mereka. 

Tatkala mereka mengaji ilmu di universiti itu, ketua rumah ini Shukran Abla turun ke padang kampus dan bertemu mereka kakak-kakak ini secara rahsia. Perlahan-lahan beliau membuat pertemuan kecil secara diam-diam. Dari semasa ke semasa dengan membacakan sepotong dua perenggan dari Risalah Nur. Hati mereka saling terikat dan hingga kini mereka menyatu di bawah rumah panas ini. Tak hanya hujung minggu, tiap sambutan keramaian dan majlis islami, mereka gembira sering bertemu dan membaca Risalah Nur.

Bersambung...

Nurkilan,

Nilam Tang