16 May 2020

24 Ramadan - BERTEMU SANG MURABBI I


"setiap waktu adalah belajar, setiap orang adalah guru, setiap tempat adalah sekolah"
ADEGAWA

2011 di pagi Syaaban, keluarga besar ini begitu sibuk di dapur bagi persedian meyambut tetamu istimewa. Aku tidak mengambil kisah sangat tentangnya, fikirku barangkali ianya hanya melibatkan ahli keluarga itu sahaja. Di luar rumah, jarang ditemui orang Turki berketerampilan dengan warna terang. Kakak-kakak ini saja yang berani berbuat begitu, katanya ini semangat dan tanda kegembiraan mereka di khalayak ramai. 

Di dapur pun mereka memasak dengan pakaian-pakaian cantik, gaun bunga-bunga, tudung sifon yang terang, dan bibir merah yang mungil tanpa bedak tebal. Sudah tersedia cerah kulit mereka, tanpa kosmetik pun mereka tetap tampil cantik dan elegan. 

Tapi seperti masih terlalu awal untuk mereka bangun pagi begini. Rata-rata orang Turki yang ku kenal selalunya akan tidur selepas Subuh, sarapan mereka itu jam 11 ke 12 tengahari. Makan tengahari pula jam 4 ke 5 petang nanti. Dalam musim panas, mereka yang akan mendiami rumah panas di tempat-tempat berhawa dingin, di kaki-kaki gunung atau di pinggir pantai. 

Di bumi Kuttahiya. Bukit-bukitnya gondola. Saat matahari memuncak, anak-anak termasuk emak bapak akan terpisah meliburkan diri di banyak kolam-kolam renang dan taman tema air mengikut jantina. Piknik juga luar biasa di sini. Di tengah bandar sekalipun, minum-minum teh dan main kad di atas hamparan kecil rumput pun menjadi.  Restauran serta kafe dengan menu tempatan laku keras berdagang makanan dan minuman. Jam 12 tengahari muzik kuat berdentum-dentum hingga jendela bilik kami, tandanya pesta air harian sudah di mulai di pekan sana. 

Orang Turki akan lebih menikmati hidup hingga Subuh menjelma. Sesudah subuh jam 3 ke 4 pagi, inilah masanya mereka memeluk bantal dan menarik selimut. Kami slealu tidur awal, solat Subuh dan tidur lagi. Bangkit pagi jam 8 pagi pun, pekan ini sunyi tanpa orang. Kami suka berjalan-berjalan di kaki bukit, baring di atas hamparan rerumput. Menutup mata dan menghayati suara alam. Anjing-anjing menyalak keras, burung-buring berkicauan, siput pelan-pelan memanjat lalang, angin pula sepoi-sepoi bahasa melewati pokok-pokok bunga yang renek. 

Tengahari ini tak hadir kami ke kolam renang. Aku dan kak Ummu dipanggil untuk turut serta dalam pertemuan itu. Kami memakai pakaian kemas dan turut ke laman. Di bawah pokok erik yang merimbun, kakak-kakak Turki duduk mengelilingi seorang lelaki tua yang bertubuh kecil.

 Kami dijemput duduk semeja dengan beliau, sepertinya kami tetamu yang istimewa buatnya, walhal beliaulah tetamu yang paling bererti sekali kepada kami. Kami berdua diperkenalkan kepada beliau. Beliau adalah seorang guru bernama Muhammad Ferinci Baker, berusia 82 tahun. Mereka senang sekali memanggil beliau Ferinci Abi. Telinga beliau terselit alat pendengaran, kopiahnya dilipat kemas di kocek belakang seluarnya, dan rambutnya yang jarang serba beruban, namun beliau masih segak berjalan dan menyampaikan seribu satu perkongsian di merata lembah. 

Beliau pernah hadir ke Malaysia untuk Konvensyen Said Nursi Bediuzzaman yang berlangsung di UKM sebanyak dua kali, melalui penyampaian ucapannya, sepertinya beliau mempunyai ingatan yang sangat tajam jika dibandingkan dengan usia emasnya yang sangat mahal. Begitu teliti penerangannya dan ingatannya akan  banyaknya ilmu dan pengalamannya yang lalu.

”…Malaysia itu sebuah negara yang baik. Semua orang memakai tudung…Malaysia beruntung kerana Islam adalah negara rasminya…”, kongsi beliau.

Memang beruntung sekal aku menjadi rakyat Malaysia. Tetapi tanpa mengembara ke tempat orang begini, rasa keberuntungan itu pasti tidak hadir hingga sebegini banyak rasanya. 

Tika mengembara, pelbagai perbezaan dihargai nikmatnya, perbandingan dilaksanakan, dan kekurangan diteliti. Malaysia punya kelebihan dari segi sistem, kemudahan dan infrastruktur sangat bagus dalam pengajian agama Islam. Dan Turki pula punya jiwa kental untuk mendokong Islam yang sangat tak tertanding oleh rakyat  negaraku. 

Di awal tahun 1990-an, Turki sedang sakit jatuh tetimpa-timpa bermacam tangga kemusnahan. Pemimpin kuku besi, sang Mustafa Kamal tak menunggu waktu lama, memaksa rakyat Turki memulai segera norma baru. Kot dan tai serta topi bangsa Eropah diperagakan, tak ada tudung dan selendang bertahta di kepala para wanita. 

Pintu-pintu madrasah segera dipaku kebal tak boleh ditembusi. Masjid-masjid menangis dengan laungan azan bukan berbahasa Arab. Banyak darinya ditutup, ada yang  dijadikan kandang kuda, sebahagian terbengkalai dan terbiar pilu. Tak ada lagi suara-suara dokongan syiar Islam bebas di udara kota dan kampung. Jentolak sekularisme merobohkan jiwa dan raga.

Tahun-tahun mendatang, rakyat sengsara hidup dalam kepalsuan jiwa. Hati mereka meronta mahukan amalan hidup secara Islam. Di ceruk-ceruk desa di timur Turki, Said Nursi Bediuzzaman tetap tegar merentang arus songsang ini. Mulai dari satu dua orang, bulatan kelasnya berkembang hingga berpuluh-puluh orang secara rahsia masuk ke hutan mengejar ilmu agama dari beliau. 

Tiap-tiap mereka menulis setiap ayat dari mulut sang guru, kemudian di bawa pulang ke rumah untuk disampaikan kepada ahli keluarga serumah. Anak isteri masing-masing menyalin lagi nota-nota dan disebarkan secara rahsia kepada keluarga besar. Ada nota diselitkan melalui botol air ke kebun, ada juga dalam bekas makanan dan poket-poket rahsia di sekitar tubuh. Tak ada usaha  jelas lain selain cara ini, demi terus menghidupkan islam kembali dalam jiwa-jiwa rakyat Turki. Tahun demi tahun, tersebar risalah-risalah ini ke merata Turki. Dalam pelbagai dugaan dan pancaroba, akhirnya terkumpulnya semua risalah ini sekarang, digelarkan kitab-kitabnya sebagai Risalah Nur. 

Tahun demi tahun juga. untuk terus hidup, semua kakak-kakak Turki di sini beriktiar memakai rambut palsu ke kampus. Untuk mengembalikan Islam di masa depan, cara begini harus ditempuhi mereka. Cita-cita mereka bukan kecil, misalnya Sibel adalah doktor, dan Nur pula bekerja sebagai pendidik sekarang. 

Kakak yang lain pula berkinginan menjadi angkasawan, para guru dan jurutera, tetapi mereka berhenti saja di pertengahan jalan. Tidak bererti mereka mengalah. Mereka memilih jalan aman disamping keluarga, pulang ke kampung dan memilih untuk hidup dalam pelukan Islam di dalam rumah kecil mereka. 

Tatkala mereka mengaji ilmu di universiti itu, ketua rumah ini Shukran Abla turun ke padang kampus dan bertemu mereka kakak-kakak ini secara rahsia. Perlahan-lahan beliau membuat pertemuan kecil secara diam-diam. Dari semasa ke semasa dengan membacakan sepotong dua perenggan dari Risalah Nur. Hati mereka saling terikat dan hingga kini mereka menyatu di bawah rumah panas ini. Tak hanya hujung minggu, tiap sambutan keramaian dan majlis islami, mereka gembira sering bertemu dan membaca Risalah Nur.

Bersambung...

Nurkilan,

Nilam Tang

No comments:

Post a Comment