Aku tidak memilih
untuk berada di gerabak ini.
Sering kali, hatiku
memberontak, “Mengapa gerabak ini?”
Sejujurnya,aku
lebih gemar berada di gerabak hujung sana.
Gerabak yang punya
ramai teman-teman yang mengasyikkan. Gerabak yang menghidangkan lagu-lagu yang
bisa membuatkan jiwa ini menari-nari tanpa dipaksa. Gurau senda serta hilai
tawa yang amat membahagiakan. Bahkan, gerabak di hujung sana mengumpulkan ahli
keluargaku, ibuku, bapaku, abngku, jua kekasihku.
Mengapa? Mengapa
aku seorang yang berada di gerabak ini?
Gerabak ini, aneh.
Tiada lagu-lagu. Tiada hilai tawa. Tiada teman-teman baikku. Tiada ahli
keluargaku. Hanya aku seorang di sini. Mengapa aku yang terpilih menaiki
gerabak ini? Mengapa aku?
“Sebab kau
istimewa. Tuan punya gerabak ini mahu engkau berada di sini. Bersama-sama kami.”
Teman di sebelahku, yang sedari tadi asyik membaca sesuatu, menyapaku.
Seolah-olah memahami isi hatiku.
“Namun, mengapa aku
seorang? Mengapa tidak bawa sekali ibuku, kekasihku, keluargaku, teman-temanku?
Mengapa aku sendiri? Aku tidak mahu bersedirian di gerabak aneh ini!” Aku
bersuara. Lantang. Biar, biar satu gerabak ini tahu apa yang ada di dalam
hatiku. Biar tuan punya gerabak sedar, yang aku tidak mahu berada di gerabak
ini.
“Kamulah yang akan
membawa mereka ke gerabak ini.” Temanku ini menjawab dengan penuh ketenangan
dan senyuman manis. Aku senang dengan senyuman itu.
“Bagaimana?”
Temanku menghulur
buku yang dibacanya sebentar tadi.
“Tafsir Al-Quranul-karim?”
“Ya, buku panduan
kami semua di gerabak ini. Jua, buku hadis. Bacalah, hayatilah dan belajarlah
dengan guru di yang duduk di hujung sana. Apabila tiba masanya, kau ajaklah
keluarga dan temanmu di gerabak sana untuk datang di sini. Jangan risau. Ini
kereta api. Destinasi terakhirnya adalah sama. Cuma, gerabaknya yang berbeza.
Dan inti pati gerabaknya pasti jua berbeza. Sebab ini kereta api kehidupan.
Gerabak ini, gerabak dakwah dan tarbiyyah.” Lebar penjelasan temanku.
Aku menatap temanku
ini. Lama. Menghadam kata-katanya.
Aku memerhati
sekelilingku.
Ya, gerabak ini
aneh, sebab mereka tidak hilai tawa seperti gerabak yang lain. Tapi, serius,
mereka punya senyuman dan wajah yang sangat menenangkan, seperti wajah temanku
ini.
Ya, mereka jua
tidak punya lagu-lagu yang mampu membawa aku ke tahap “zouq”, namun mereka
punya ayat-ayat suci, dari tuan punya kereta api yang Maha Mengetahui.
💕,
090114:0118 |UTM
No comments:
Post a Comment