18 May 2020

26 Ramadan - BERTEMU SANG MURABBI III


Selepas sahaja Magrib berlalu, jam 9 malam begitu kami berkelah beramai-ramai di suatu kebun yang agak lapang kira-kira 20 minit dari rumah. Tiada orang lain, melainkan kami. Tiada rumah-rumah berdekatan juga.
           
            Teko-teko teh bertingkat dua, wajib ada dan sentiasa dingin sepanjang malam. Pelbagai makanan yang tersedia sejak pagi tadi terhidang banyak, di samping buah-buah segar musim panas.

            Di tengah sesi perkelahan, lagu-lagu rancak Turki diperdengarkan dari peti suara sebuah van. Sungguh kuat sekali. Yang laki-laki ada yang menari di sana, perempuan pula satu persatu menari di sini. Kami orang Malaysia, mana nya tahu menari bukan budaya kita. Kami hanya makan dan makan, berbual saja nampaknya.

            ”Kami di sini amat gemar melakukan penipuan,” Filiz memulakan bicara.

            ”Boleh macam itu?”soalku.

            ”Iya, bila di khalayak ramai begini, ada di antara mereka melakukan penipuan, sangkaan kami yang lain adalah benar rupanya tipu semata-mata”, sambungnya lagi.

            “Satu malam Ella Nur memakai baju tidur berwarna pink dan makan bersama kami di tingkat bawah bangunan rumah kita itu seperti biasa. Tetapi malam itu kami tidak perasan dia naik ke rumah lebih awal. Sedang kami makan dan makan lagi, tiba-tiba ada satu jeritan mengiringi seseorang yang jatuh dari bumbung tingkat empat memakai baju pink yang sama. Seseorang mungkin mati, kami tergamam. Ella Nur?”

            Sambung Filiz, “Kami sungguh terkejut. Tia-tiba satu suara ketawa mengiringi ketakutan kami dari tingkat yang sama, rupanya Ella Nur melontarkan beberapa bantal yang di masukkan ke dalam bajunya membentuk seperti seorang manusia. Kami ditipu.”

            Berderai ketawa kami.

            “Kini giliran kamu berdua. Kamu menari bersama mereka dan pura-pura pengsan”. Filiz Abla terus mencadang.

            ”Kami tidak berani”, kami tergelak malu. Kemudian kami diajak menari-nari di dalam satu bulatan kecil. Bukan menari pun kami, larian setempat lebih sesuai jadinya. Segan amat.

            Para penari akan berpusing sambil menari membentuk bulatan, manakala seorang demi seorang penari akan bertukar untuk menari di tengah-tengah bulatan. Giliran Sarcan yang berbadan gempal pula menari ke bahagian tengah. Tiba-tiba dia kelihatannya sesak nafas dan pengsan. Aku tergamam, tak tahu berbuat reaksi bagaimana.
           
            Muzik di matikan dan semua mengelilingi Sarcan. Doktor Sibel memainkan peranannya, memeriksa nadi dan sambil memanggil-manggil Sarcan untuk terus sedar.

            ”Sarcan bangun! Tarik nafas perlahan-lahan”, ujar doktor. Cuak semakin menggunung. Şukran Abla mengambil giliran pula, ”Sarcan!...”. Diam uma diam dan kaku.  Keadaan sekeliling semakin senyap. Jantung aku pula yang semakin laju menghentam tulang rusuk. Semua orang tertunduk diam.

             Tiba-tiba, Sarcan bangkit dan duduk. Dia ketawa dan semua orang ketawa berdekah-dekah kepada kami.

            ”Oh tidak kita tertipu!” kami berdua tertawa juga.

            ”Aku dah cadangkan kepada kamu tadi, sekarang kamu pula yang tertipu, beginilah apa yang aku maksudkan,”terang Filiz Abla. Semakin besar ketawa memecahkan pekat malam itu.  Mereka pelakon yang hebat. 

            Di dalam kelurga besar ini, perhubungan di antara lelaki dan perempuan begitu dijaga dengan baik sekali. Semasa menjamu makanan, menari dan berlagu riang, kaum lelaki di bahagian hadapan agak jauh dari kami, sekitar 100 meter.

            Sebenarnya, budaya rumah Uthmaniyyah memang begitu, tetamu lelaki dan perempuan dipisahkan kepada dua ruang tamu bersebelahan. Masing-masing tidak boleh bercampur gaul hingga berakhirnya pertemuan. Saat makan pun, tuan rumah akan menghidangkan makanan di ruang tersebut. Budaya itu diamalkan hingga sekarang, walaupun tak punya dua ruang tamu secara tradisinya, tuan rumah akan mempersiapkan bilik khas untuk wnaita, sedangkan laki-laki di ruang tamu.

            Keselesaan begini membuatkan kami tidak canggung melakukan aktiviti masing-masing. Aku mengambil peluang menyanyi sebelum agenda tarian mengambil alih. Kami membawa lagu ”Thank You Allah”, yang dilagukan oleh kumpulan nasyid tanah air yang terkenal, Raihan. Diringi oleh petikan gitar Nacie. Persembahan ringkas ini saja buah tangan malam itu dari kami.

            Aktiviti perkelahan malam itu berakhir dengan permainan tarik tali sesama kaum lelaki kemudiannya kaum wanita pula. Aku turut menyertainya tetapi kalah di tangan kumpulan Ummu akhirnya.

            Kami berjalan kaki semula pulang ke rumah. Tak seperti hujung minggu biasa, malam itu perkelahan ini mengumpulkan kira-kira 40 orang semuanya. Ramainya kami kerana menghadiri sambutan Nifsu Syaaban dan sedia maklum menyambut guru tadi siangnya. Sebahagian wanita-wanita yang sebaris denganku, belum berkahwin lagi berjalan kaki riang sambil mengunyah kuaci. 
           
            Masa ini juga baik untuk kami berdua mempraktikkan pelajaran bahasa Turki kami. Manakala kakak-kakak yang sudah berkahwin akan menaiki kereta bersama suami masing-masing disamping membawa bekas-bekas bekalan piknik.

            Bumi Kuttahiya yang berbukit dipeluk kesejukan malam di paras bawah 10 darjah. Bintang-bintang bergemerlapan di langit tak berawan sedikit pun. Tapi kami tetap suka mendampingi malam bersama di atas rumah aras 4 itu. Kira-kira jam 12 malam setelah pulang, kami dirikan solat Isyak bersama.
           
            Kira-kira 50% Muslim di Turki berpegang kepada Mazhab Hanafi terutama mereka yang tinggal di bahagian Barat termasuklah tanah Istanbul. Bakinya pula berpegang kepada Mazhab Syafie. Awalnya aku hairan, katanya solat bersama, ada seorang ketua di hadapan saf; Syukran Abla. Namun pergerakan mereka tidak serentak.

            Rupanya mereka memang benar solat bersama sahaja, bukansolat secara berjemaah. Dalam mazhab mereka, tidak ada didirikan solat berjemaah di kalangan wanita-wanita sahaja. Usai solat kami duduk bersama dan mendengar perkongsian Risalah Nur oleh Filiz.

            Di sini, jam 10 malam azan Isyak berkumandang di udara, bayangkan saja nanti jam 12 malam baru selesai solat Terawih 20 rakaat di Turki.

            Menikmati malam hingga Subuh jam 3.30 pagi nanti, kami masing-masing menekuni diri. Ada yang mengalunkan bacaan Al-Quran sama ada secara berkumpulan mahupun sendirian.

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka,”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?”Pasti mereka menjawab,”Allah”Maka mengapa mereka bisa dipalingkan (dari kebenaran)”                                                                     (Surah Al-Ankabut: 61)

            Aku memanjat tembok dan menjuntaikan kaki di tingkat 4, bermuhasabah bersama penuhnya bulan purnama. Sekitar surah Al Ankabut itu ku baca dan terkesima, Takdir Tuhan begitu kemas tersusun untukku.

            “Kau membenarkan lagi penciptaan alamMu dengan kebenaran yang tiada tandingan dari kitab suciMu. Duhai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, baru sebentar tadi kami pulang dari menyanyikan lagu Islami, berselawat dan berzikir di dalam pimpinan tangan membulat di kaki bukit. Sambil menyaksikan keindahan bulan penuh dan bintang-bintang yang memagarinya. Kini Kau ikat, Kau ikat lagi hatiku dengan ayat-ayat suciMu”.

            Aku amat kesal kerana tidak melakukan persedian rohani sebelum menghadapi bumi yang tewasnya bangsa Romawi, tercatit dalam surah seterusnya, ayat 2 Surah Ar Rum.

            Maksudku yang lebih terperinci, aku tidak pula mencari mana-mana maklumat tentang adab, perayaan, sambutan, mazhab malah budaya warga Turki ini dengan lebih terperinci sebelum aku mengembara ke sini. Pastinya ia lebih memaknakan rohani.

            Namun Allah tetap mengasihiku, hadirkan mereka keluarga besar ini, seorang sahabat Ummu, dan seluruh warga Turki yang secara langsung atau tidak membantuku merohanikan pengembaraan ini.
           
            Alhamdulillah dapat aku melihat kemurnian sebuah perbezaan indah dalam keluarga ini khasnya dan seluruh pelosok Turki umumnya, dalam meraikan Nifsu Syaaban. Keluarga Risale-I Nur ini memakai pakaian yang indah-indah dan kemas, makan besar dan solat bersama-sama. Mereka saling memberi hadiah seperti tudung, coklat, atau manisan. Pasti turut serta adalah aktiviti ibadah sunnah yang lain. 





Nukilan,

Nilam Tang

No comments:

Post a Comment