10 March 2013

Saat Iman melemah


Tidak boleh disangkal lagi kita hanyalah manusia biasa bukan malaikat yang akan sentiasa patuh dan taat akan suruhan Allah ta'ala. Kita hanyalah manusia ~

Ada kalanya kita akan merasakan kesungguhan untuk melakukan kebaikan dan adakalanya kesungguhan itu merasakan berat untuk dilakukan.

Adakalanya kita merasa ghairah dan aktif untuk melakukan sesuatu dan adakalanya perasaan malas itu merajai. Keadaan sebegitu berlaku dari semua aspek kehidupan termasuk dalam aspek agama.

Ada masanya kita tersangat lah rajin dan bersemangat untuk buat usrah, pergi kuliah, baca buku-buku agama, solat sunat , baca Al-Quran bahkan bangun pagi untuk qiam dilakukan saban malam. Adakalanya terasa terlalu banyak syaitan yang menghasut di kiri dan kanan sehingga hendak membuka selembaran muka Al-Quran terasa payah.. Nauzubillah.

Ada masanya menunaikan solat dengan khusyuk sehingga sujud lama menangisi dosa-dosa dan ada masanya solat kita merasa keberatan untuk melakukan , walaupun saat azan memanggil-manggil , kita masih berada di hadapan laptop tercinta. Allah ~

Ada juga tikanya mulut sungguh indah meluahkan butir-butir mutiara nasihat buat orang disekeliling dan menjadi suntikan semangat buat yang lainnya dan tanpa disedari banyak pula kita melanggarnya. 

Ada pula masanya kita sering bangun bermunajat padaNya di 2/3 malam tetapi kadangkala kita lupa menunaikan solat-solat yang lain dan bangun subuh juga "subuh gajah".

Dalam sesuatu perkara , kita mengatakan kejujuran dan adakalanya kita ambil pembohongan untuk menyelamatkan diri.

Persoalannya ?

Mengapa kita menjadi sebegitu ?
Apakah yang menjadi punca terkadang kita menjadi alim dan di masa yang lain kita berubah watak menjadi zalim . Adakah semua manusia mengalaminya ?

Sebenarnya hal ini berlaku disebabkan masalah keimanan kita sendiri iaitu keimanan kepada Allah swt. Iman manusia kadangkala menaik dan kadangkala menjadi lemah. Semua masalah-masalah yang acapkali kita alami tersebut berlaku kepada semua manusia hatta nabi dan manusia suci . Segalanya sebagai ujian untuk memuhasabahkan kita kembali dan menjadikan kita manusia yang lebih kuat pergantungan kepadaNya. Permasalahan iman yang berlaku juga disebabkan masalah jiwa dan hati yang semakin kering dengan santapannya iaitu mudah dikatakan dengan masalah nafsu yang merajai pada satu-satu masa tanpa kita sedari. 

Begitu perlunya pengawalan nafsu dan suapan rohani untuk menguatkan diri kita untuk mengecap redha illahi dalam meniti titian duniawi yang mencabar untuk sampai ke destinasi akhir yang kekal abadi.

"Berjihadlah atas nafsu (diri)-mu untuk menolaknya dari hawa (nafsu)-nya kerana sesungguhnya itu merupakan kewajipan atasmu sebagaimana berjihad terhadap musuhmu." (Imam Musa al-Kadzim)

Antara petanda lemahnya iman kita 
1. menderhaka dan melakukan dosa
2. Merasakan hati menjadi keras dan kaku
3. Tidak lagi tekun melakukan ibadah
4. Malas melakukan amal ibadah yang meremehkan
5. Dada terasa sesak, mengalami perubahan perangai dan tabiat membelenggu sehingga seakan-akan      seorang merasakan beban menghimpitnya.
6. Tak tersentuh dengan kandungan ayat-ayat Al-Quran
7.Lalai mengingati Allah sehingga lupa berzikir
8. Tidak merasa bersalah melanggar perintah Allah
9. sombong dan gila pada kemasyuran
10. Bakhil dan kikir

Masalah keimanan ini juga berkait rapat dengan keyakinan kita sebagai seorang muslim. Akidah yang kuat didalam hati. Suburi iman agar segala ucapan, akhlak, mahupun perbuatan kita dapat dipandu dengan baik dalam menjalankan amanah Allah swt atas bumiNya ini .

Antara petua menyuburi iman dari melemah
1. Memahami al-Quran
2. Merasakan keagungan Allah
3. Mencari ilmu syar'i
4. Melakukan halaqah zikir
5. Memperbanyakkan amal soleh
6. Melakukan pelbagai jenis ibadah
7. Takut su'ul khatimah ketika meninggal dunia
8. Banyak mengingati mati
9. Mengingat adanya hari akhirat
10.Memikirkan kehinaan dunia
(Zhahiratu Dhuf'ul iman karya Muhammad Soleh al-Munajjid, 1413H)

“Wahai Tuhan yang sentiasa membolak-balikkan hati, Engkau tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu”.


 Suburi iman dengan usrah salah satu cara mengecas bateri iman andai melemah :)
"Perumpamaan dengan sebuah komputer, laptop, handphone. Segala benda-benda eletronik tu perlulah dicas bilamana baterinya lemah. Dan begitu jualah dengan diri setiap manusia, perlulah sentiasa dicas imannya, Kerana iman manusia itu kadangkala bertambah. Kadangkala berkurang. Saat iman itu berkuranglah, perlunya usrah. Kerana  usrah umpama suatu alat untuk mengecas semula iman-iman manusia saat ia lemah."  

No comments:

Post a Comment