Selepas sahaja Magrib
berlalu, jam 9 malam begitu kami berkelah beramai-ramai di suatu kebun yang
agak lapang kira-kira 20 minit dari rumah. Tiada orang lain, melainkan kami.
Tiada rumah-rumah berdekatan juga.
Teko-teko teh bertingkat dua, wajib ada dan sentiasa
dingin sepanjang malam. Pelbagai makanan yang tersedia sejak pagi tadi
terhidang banyak, di samping buah-buah segar musim panas.
Di tengah sesi perkelahan, lagu-lagu rancak Turki
diperdengarkan dari peti suara sebuah van. Sungguh kuat sekali. Yang laki-laki
ada yang menari di sana, perempuan pula satu persatu menari di sini. Kami orang
Malaysia, mana nya tahu menari bukan budaya kita. Kami hanya makan dan makan,
berbual saja nampaknya.
”Kami di sini amat gemar melakukan penipuan,” Filiz
memulakan bicara.
”Boleh macam itu?”soalku.
”Iya, bila di khalayak ramai begini, ada di antara mereka
melakukan penipuan, sangkaan kami yang lain adalah benar rupanya tipu
semata-mata”, sambungnya lagi.
“Satu malam Ella Nur memakai baju tidur berwarna pink dan makan bersama kami di tingkat
bawah bangunan rumah kita itu seperti biasa. Tetapi malam itu kami tidak
perasan dia naik ke rumah lebih awal. Sedang kami makan dan makan lagi,
tiba-tiba ada satu jeritan mengiringi seseorang yang jatuh dari bumbung tingkat
empat memakai baju pink yang sama.
Seseorang mungkin mati, kami tergamam. Ella Nur?”
Sambung Filiz, “Kami sungguh terkejut. Tia-tiba satu
suara ketawa mengiringi ketakutan kami dari tingkat yang sama, rupanya Ella Nur
melontarkan beberapa bantal yang di masukkan ke dalam bajunya membentuk seperti
seorang manusia. Kami ditipu.”
Berderai ketawa kami.
“Kini giliran kamu berdua. Kamu menari bersama mereka dan
pura-pura pengsan”. Filiz Abla terus mencadang.
”Kami tidak berani”, kami tergelak malu. Kemudian kami
diajak menari-nari di dalam satu bulatan kecil. Bukan menari pun kami, larian
setempat lebih sesuai jadinya. Segan amat.
Para penari akan berpusing sambil menari membentuk
bulatan, manakala seorang demi seorang penari akan bertukar untuk menari di
tengah-tengah bulatan. Giliran Sarcan yang berbadan gempal pula menari ke
bahagian tengah. Tiba-tiba dia kelihatannya sesak nafas dan pengsan. Aku
tergamam, tak tahu berbuat reaksi bagaimana.
Muzik di matikan dan semua mengelilingi Sarcan. Doktor
Sibel memainkan peranannya, memeriksa nadi dan sambil memanggil-manggil Sarcan
untuk terus sedar.
”Sarcan bangun! Tarik nafas perlahan-lahan”, ujar doktor.
Cuak semakin menggunung. Şukran Abla mengambil giliran pula, ”Sarcan!...”. Diam
uma diam dan kaku. Keadaan sekeliling
semakin senyap. Jantung aku pula yang semakin laju menghentam tulang rusuk.
Semua orang tertunduk diam.
Tiba-tiba, Sarcan
bangkit dan duduk. Dia ketawa dan semua orang ketawa berdekah-dekah kepada
kami.
”Oh tidak kita tertipu!” kami berdua tertawa juga.
”Aku dah cadangkan kepada kamu tadi, sekarang kamu pula
yang tertipu, beginilah apa yang aku maksudkan,”terang Filiz Abla. Semakin
besar ketawa memecahkan pekat malam itu.
Mereka pelakon yang hebat.
Di
dalam kelurga besar ini, perhubungan di antara lelaki dan perempuan begitu
dijaga dengan baik sekali. Semasa menjamu makanan, menari dan berlagu riang,
kaum lelaki di bahagian hadapan agak jauh dari kami, sekitar 100 meter.
Sebenarnya,
budaya rumah Uthmaniyyah memang begitu, tetamu lelaki dan perempuan dipisahkan
kepada dua ruang tamu bersebelahan. Masing-masing tidak boleh bercampur gaul
hingga berakhirnya pertemuan. Saat makan pun, tuan rumah akan menghidangkan
makanan di ruang tersebut. Budaya itu diamalkan hingga sekarang, walaupun tak
punya dua ruang tamu secara tradisinya, tuan rumah akan mempersiapkan bilik
khas untuk wnaita, sedangkan laki-laki di ruang tamu.
Keselesaan
begini membuatkan kami tidak canggung melakukan aktiviti masing-masing. Aku
mengambil peluang menyanyi sebelum agenda tarian mengambil alih. Kami membawa
lagu ”Thank You Allah”, yang
dilagukan oleh kumpulan nasyid tanah air yang terkenal, Raihan. Diringi oleh
petikan gitar Nacie. Persembahan ringkas ini saja buah tangan malam itu dari
kami.
Aktiviti
perkelahan malam itu berakhir dengan permainan tarik tali sesama kaum lelaki
kemudiannya kaum wanita pula. Aku turut menyertainya tetapi kalah di tangan
kumpulan Ummu akhirnya.
Kami
berjalan kaki semula pulang ke rumah. Tak seperti hujung minggu biasa, malam
itu perkelahan ini mengumpulkan kira-kira 40 orang semuanya. Ramainya kami
kerana menghadiri sambutan Nifsu Syaaban dan sedia maklum menyambut guru tadi
siangnya. Sebahagian wanita-wanita yang sebaris denganku, belum berkahwin lagi
berjalan kaki riang sambil mengunyah kuaci.
Masa
ini juga baik untuk kami berdua mempraktikkan pelajaran bahasa Turki kami.
Manakala kakak-kakak yang sudah berkahwin akan menaiki kereta bersama suami
masing-masing disamping membawa bekas-bekas bekalan piknik.
Bumi
Kuttahiya yang berbukit dipeluk kesejukan malam di paras bawah 10 darjah.
Bintang-bintang bergemerlapan di langit tak berawan sedikit pun. Tapi kami
tetap suka mendampingi malam bersama di atas rumah aras 4 itu. Kira-kira jam 12
malam setelah pulang, kami dirikan solat Isyak bersama.
Kira-kira
50% Muslim di Turki berpegang kepada Mazhab Hanafi terutama mereka yang tinggal
di bahagian Barat termasuklah tanah Istanbul. Bakinya pula berpegang kepada
Mazhab Syafie. Awalnya aku hairan, katanya solat bersama, ada seorang ketua di
hadapan saf; Syukran Abla. Namun pergerakan mereka tidak serentak.
Rupanya
mereka memang benar solat bersama sahaja, bukansolat secara berjemaah. Dalam
mazhab mereka, tidak ada didirikan solat berjemaah di kalangan wanita-wanita
sahaja. Usai solat kami duduk bersama dan mendengar perkongsian Risalah Nur
oleh Filiz.
Di
sini, jam 10 malam azan Isyak berkumandang di udara, bayangkan saja nanti jam
12 malam baru selesai solat Terawih 20 rakaat di Turki.
Menikmati
malam hingga Subuh jam 3.30 pagi nanti, kami masing-masing menekuni diri. Ada
yang mengalunkan bacaan Al-Quran sama ada secara berkumpulan mahupun sendirian.
“Dan jika engkau
bertanya kepada mereka,”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan
menundukkan matahari dan bulan?”Pasti mereka menjawab,”Allah”Maka mengapa
mereka bisa dipalingkan (dari kebenaran)” (Surah Al-Ankabut: 61)
Aku
memanjat tembok dan menjuntaikan kaki di tingkat 4, bermuhasabah bersama
penuhnya bulan purnama. Sekitar surah Al Ankabut itu ku baca dan terkesima,
Takdir Tuhan begitu kemas tersusun untukku.
“Kau
membenarkan lagi penciptaan alamMu dengan kebenaran yang tiada tandingan dari
kitab suciMu. Duhai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, baru sebentar tadi
kami pulang dari menyanyikan lagu Islami, berselawat dan berzikir di dalam
pimpinan tangan membulat di kaki bukit. Sambil menyaksikan keindahan bulan penuh
dan bintang-bintang yang memagarinya. Kini Kau ikat, Kau ikat lagi hatiku
dengan ayat-ayat suciMu”.
Aku
amat kesal kerana tidak melakukan persedian rohani sebelum menghadapi bumi yang
tewasnya bangsa Romawi, tercatit dalam surah seterusnya, ayat 2 Surah Ar Rum.
Maksudku yang lebih
terperinci, aku tidak pula mencari mana-mana maklumat tentang adab, perayaan,
sambutan, mazhab malah budaya warga Turki ini dengan lebih terperinci sebelum
aku mengembara ke sini. Pastinya ia lebih memaknakan rohani.
Namun Allah tetap mengasihiku, hadirkan mereka keluarga
besar ini, seorang sahabat Ummu, dan seluruh warga Turki yang secara langsung
atau tidak membantuku merohanikan pengembaraan ini.
Alhamdulillah dapat aku melihat kemurnian sebuah
perbezaan indah dalam keluarga ini khasnya dan seluruh pelosok Turki umumnya,
dalam meraikan Nifsu Syaaban. Keluarga Risale-I Nur ini memakai pakaian yang
indah-indah dan kemas, makan besar dan solat bersama-sama. Mereka saling
memberi hadiah seperti tudung, coklat, atau manisan. Pasti turut serta adalah
aktiviti ibadah sunnah yang lain.
Nukilan,
Nilam Tang